Yayasan Amal TYT Pulau Pinang tumpu kebajikan golongan kurang bernasib baik, kata Rozali Mohamud

Admin
SR. Rozali Mohamud semasa Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Yayasan Amal TYT Pulau Pinang di perkarangan dalam Seri Mutiara pada 22 Mac 2023 turut membentangkan kepada Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak mengenai halatuju pertubuhan tersebut bagi tahun ini.

YAYASAN Amal TYT Pulau Pinang yang ditubuhkan pada 9 Disember 2021 dan diperbadankan pada 26 Januari 2022 adalah hasil cetusan idea Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Kelapan, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak sendiri.

Dalam konteks negeri ini, penubuhan yayasan amal atas nama ’Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang’ adalah yang pertama.

Pada 22 Mac 2023, pertubuhan tidak berorientasikan keuntungan tersebut memahat satu lagi sejarah iaitu pembukaan Pejabat Yayasan Amal TYT Pulau Pinang di perkarangan dalam kediaman rasmi TYT dekat Seri Mutiara.

TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (depan sekali) menandatangani plak perasmian pembukaan Pejabat Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, sambil disaksikan oleh Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (baris kedua, kiri) dan Sr. Rozali Mohamud (baris kedua, kanan) di perkarangan dalam Seri Mutiara di sini pada 22 Mac 2023.

Tun Ahmad Fuzi sendiri dengan diiringi Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyempurnakan majlis perasmian pembukaan pejabat yayasan tersebut di sini.

Seusai majlis berkaitan, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS berkesempatan menemu bual secara eksklusif tonggak utama di sebalik penubuhan dan perjalanan beberapa program berkaitan atas nama yayasan tersebut.

Individu yang dimaksudkan lain tak bukan adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud.

Memulakan bicara, Rozali memberitahu bahawa Yayasan Amal TYT Pulau Pinang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965, dengan kelulusan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

“Tujuan penubuhan Yayasan Amal TYT Pulau Pinang ini adalah untuk menyediakan peluang amal kebajikan kepada seluruh penduduk negeri ini tanpa mengira bangsa.

“Jadi, perbezaannya dengan badan-badan lain yang saya nampak adalah Yayasan Amal TYT Pulau Pinang ini menumpukan pada kerja-kerja amal kebajikan yang melibatkan kelompok kurang bernasib baik.

“Itu, adalah antara teras utama bagi Yayasan Amal TYT Pulau Pinang,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Buletin Mutiara kerana memberikan liputan meluas pada program-program anjuran yayasan tersebut selama ini.

Di samping itu, Rozali memberitahu bahawa lima teras utama lain yang turut menjadi tumpuan dalam program-program anjuran Yayasan Amal TYT Pulau Pinang adalah berorientasikan kesihatan, pendidikan, sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Demi menjayakan enam teras utama ini, Rozali memberitahu bahawa Yayasan Amal TYT Pulau Pinang akan mempergiat kerjasama dengan rakan-rakan strategik, baik jabatan-jabatan kerajaan mahupun syarikat korporat berkaitan.

“Pelaksanaan enam bidang fokus utama (KFA) Yayasan Amal TYT Pulau Pinang ini memerlukan penglibatan sektor swasta, pengilang, pertubuhan-pertubuhan komuniti (CBO), pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), (sektor) pendidikan, universiti (awam dan swasta) serta rakyat.

“Contohnya, pada 13 Februari (2023), Yayasan Amal TYT Pulau Pinang menganjurkan ‘Educare’ dengan penglibatan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang mana seramai 1,000 pelajar sekolah rendah dalam kelompok ’underprivileged’ atau kurang bernasib baik iaitu B40 (daripada keluarga berpendapatan 40 peratus paling rendah) diberi bantuan dalam bentuk pakaian seragam, beg, kasut, sarung kaki, alat tulis; (termasuk) 100 pelajar menerima bantuan sumbangan di (pasar raya besar) Mydin Bukit Mertajam.

“Dengan bantuan JPN juga, Yayasan Amal TYT Pulau Pinang pada 31 Oktober 2022 ada menganjurkan program pemberian sumbangan cermin mata percuma kepada 20 sekolah termasuk Sekolah Rendah, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Kebangsaan Convent dan KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain) sempena World Sight Day.

“Pihak pentadbir sekolah lebih mengenal pasti pelajar dalam kelompok ‘underprivileged’, yayasan meletakkan syarat para penerima yang dicadangkan adalah mereka yang tidak pernah memohon bantuan berkaitan daripada mana-mana pihak sama ada program anjuran wakil rakyat tempatan atau CSR (tanggungjawab sosial korporat) mana-mana syarikat bukan kerajaan.

“Sebagaimana diperjelaskan sebelum ini, juga diluluskan dalam Mesyuarat Lembaga (Yayasan Amal TYT Pulau Pinang), kita ada enam KRA (bidang fokus utama iaitu Kumpulan yang memerlukan (underprivileged); Kesihatan; Pendidikan; Alam Sekitar; Sosial dan Komuniti seperti rumah ibadat atau rumah kebajikan atau rumah anak yatim; dan (KRA keenam) Pembangunan Ekonomi Setempat,” jelasnya lagi.

Sebagaimana diketahui umum, Rozali sebelum ini pernah menjawat jawatan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta berjaya meletakkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan pada kedudukan tersendiri baik pada peringkat antarabangsa mahupun kebangsaan.

Beliau pernah menjadi Setiausaha bagi PBT tersebut selama enam tahun, mulai 2011 hingga 2017.

Beliau juga pernah menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) selama tiga tahun, sehingga 2019.

Selepas tempoh perjawatan tersebut, Rozali dimasyhurkan sebagai Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selama dua tahun empat bulan.

Berbekalkan pengalaman tersebut, Rozali dalam nada sederhana berkata ada tiga perkara signifikan untuk beliau pacu melalui pelantikan sebagai CEO Yayasan Amal TYT Pulau Pinang.

“Secara ringkasnya, memahami kehendak para pemegang taruh, mempunyai hubungan dan bekerjasama rapat dengan mereka; pengurusan kewangan yang cekap akan membina keyakinan rakyat dan menjadikan Yayasan Amal TYT Pulau Pinang relevan kepada rakyat berbilang kaum di negeri ini,” jelas beliau lagi.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, Rozali berkata dalam kelender tahun 2023 Yayasan Amal TYT Pulau Pinang sempena bulan Ramadan ini menyasarkan pengagihan sumbangan bakul makanan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM10,000 atau RM100 kepada para penerima.

“Dalam perancangan peringkat Yayasan Amal TYT Pulau Pinang juga, pada 22 April 2023 akan dianjurkan program sumbangan duit raya kepada kanak-kanak di lokasi Masjid Negeri.

“Pada 8 Jun 2023, kita rancang untuk anjur program pembersihan pantai sempena World Ocean Day, (manakala) 11 Jun 2023 program penanaman 1,200 batang pokok bakau dengan kerjasama (sukarelawan) daripada Universiti Sains Malaysia (USM), pengilang, Unit Nelayan Sungai Tembus dan agensi-agensi kerajaan,” jelasnya.

Tambah Rozali lagi, sempena hari lahir TYT, pihak yayasan turut merancang untuk mengadakan lawatan ke rumah anak yatim pada 24 Julai 2023 yang mana akan diadakan program sumbangan wang tunai serta sumbangan makanan dari pusat membeli belah.

“Sempena Senior Citizens Day, pada 21 Ogos 2023 nanti Yayasan Amal TYT Pulau Pinang dalam rancangan mengadakan lawatan ke rumah kebajikan dekat SPT (Daerah Seberang Perai Tengah); mengadakan acara sumbangan wang tunai dan sumbangan makanan daripada pusat membeli belah,” jelasnya lagi.

Tidak itu sahaja, Rozali memberitahu bahawa Yayasan Amal TYT Pulau Pinang dengan kerjasama NGO Rotary Club Bukit Bendera akan menganjurkan program pemeriksaan mata dan sumbangan 200 cermin mata percuma kepada golongan B40 sebagai menyambut World Sight Day.

“Sebagaimana dijelaskan sebelum ini bahawa Yayasan Amal TYT Pulau Pinang adalah untuk rakyat berbilang kaum, maka pada 6 November 2023 akan dianjurkan program sumbangan wang sempena perayaan Deepavali; kepada persatuan iaitu Hindudharma Association, Malaysian Indian Chamber of Commerce Penang (dan) Sikh, Gujerati.

“19 Disember 2023, mungkin program akhir dalam kalender tahun ini, Yayasan Amal TYT Pulau Pinang akan menganjurkan program sumbangan kepada 100 kanak-kanak terpilih sempena perayaan Hari Natal,” jelasnya lagi.

Mengakhiri wawancara, Rozali berkata segala perancangan pada masa hadapan Yayasan Amal TYT Pulau Pinang adalah terletak atas pundak semua pihak yang terlibat iaitu 15 orang sukarelawan tetap di samping 1,500 sukarelawan secara ‘ad hoc’ yang boleh dikerah untuk menjayakan program-program tertentu.

“Dengan sokongan secara langsung oleh Tun Ahmad Fuzi sendiri, juga Kerajaan Negeri hari ini, Yayasan Amal TYT Pulau Pinang akan terus saling kerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi menjayakan KRA kita.

“Kita akan terus memberi sumbangan bantuan dan kebajikan kepada seluruh penduduk Pulau Pinang tanpa mengira bangsa terutama golongan tumpu yang kurang bernasib baik.

“Pada peringkat awal, kita akan tumpu pada kelompok golongan kurang bernasib baik, seterusnya pada masa hadapan mungkin Yayasan Amal TYT Pulau Pinang akan melihat pada usaha-usaha yang dilakukan peringkat Kerajaan Negeri; seperti program pemupukan semangat muhibah dan perpaduan sesama rakyat yang berbilang kaum serta keperluan membina modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan di negeri Pulau Pinang.

“Sebesar mana perancangan Yayasan Amal TYT Pulau Pinang ketika ini dan harapan kami pada masa hadapan, yayasan ini tidak akan mengambil alih peranan hakiki jabatan serta agensi kerajaan yang sedia ada, seperti kerja-kerja yang dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau peranan yang dimainkan oleh para wakil rakyat selama ini.

“Saya yakin masih ada ruang lain yang berbeza untuk Yayasan Amal TYT Pulau Pinang isi dan berperanan dalam menyumbang kepada rakyat Pulau Pinang berbilang kaum,” jelasnya lagi.

Semoga Yayasan Amal TYT Pulau Pinang terus sukses!

END