Yayasan Amal TYT platform kebajikan rakyat Pulau Pinang

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri  membelanjakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM191.22 juta di bawah Pakej Bantuan Khas COVID-19 (Penang Lawan COVID-19) bagi mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik tersebut.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peruntukan tersebut juga bertujuan mengaktifkan kembali sektor ekonomi negeri yang terjejas.

 

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga komited untuk meneruskan Program Kebajikan i-Sejahtera yang kini menjadi medium penyaluran bantuan kepada rakyat.

 

“Dalam aspek sosial pula, Kerajaan Negeri telah melancarkan Kempen ❤️PENANG pada 10 Jun 2022 untuk mengembalikan semangat rakyat di negeri ini yang terkesan akibat pandemik COVID-19 melalui pelbagai inisiatif dan program,” ujarnya pada Majlis Makan Malam TYT Cup Golf Tournament & Charity Gala Dinner anjuran Yaysan Amal TYT Pulau Pinang di SPICE Convention Centre di sini malam tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri; para penaja dan dif-dif jemputan.

 

Justeru, Kon Yeow turut menzahirkan rasa syukur kerana Yayasan Amal TYT yang baru ditubuhkan pada 9 Disember 2021 dengan geran RM1 juta oleh Kerajaan Negeri bakal menjadi satu lagi badan kebajikan di negeri ini.

 

“Saya berasa amat gembira kerana Yayasan Amal TYT Pulau Pinang bakal menjadi satu lagi platform dalam menjaga kebajikan rakyat di negeri ini.

 

“Saya berharap agar aktiviti-aktiviti pengumpulan dana dan TYT Cup Golf Tournament Charity Gala Dinner ini dapat diadakan lagi pada masa hadapan dan mendapat sokongan yang baik daripada orang-orang perseorangan serta badan-badan korporat.

 

“Berdasarkan pengalaman Kerajaan Negeri menguruskan pandemik COVID-19 di Pulau Pinang, saya percaya peranan penyumbang-penyumbang ini akan dapat membantu Yayasan Amal TYT Pulau Pinang dalam aktiviti kebajikan selaras dengan hasrat Kempen ❤️PENANG yang ingin mewujudkan perasaan kasih sayang dan sifat saling bantu-membantu di antara satu sama lain,” tambahnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

Dalam majlis makan malam amal tersebut, Ahmad Fuzi turut menyampaikan replika cek kepada wakil-wakil badan kebajikan terpilih.

 

Antara artis-artis jemputan yang menghiburkan para tetamu termasuklah Sean Ghazi, Harith Iskander, Dayang Nurfaizah dan persembahan kumpulan Anak-anak Seni Pulau Pinang.

 

Turut berlangsung, bidaan gambar untuk disumbangkan kepada Yayasan Amal TYT.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : ALISSALA THIAN