GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kelmarin menerima kunjungan hormat Yayasan Komuniti Negeri Pulau Pinang dekat pejabatnya di sini.
Delegasi tersebut diketuai Pengerusinya, Datuk Mohd. Fuad Md. Isa serta sembilan ahli-ahli jawatankuasa lain.
Selain mengucapkan tahniah di atas pelantikan selaku Ketua Menteri yang baharu, Mohd. Fuad turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan dan wibawa Kon Yeow dalam melaksanakan serta memajukan Pulau Pinang.
Malah, bagi merapatkan hubungan serta pembangunan golongan belia dan veteran belia di Pulau Pinang, pertubuhan berkenaan sedia menjalinkan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri.
Pertemuan hampir 30 minit tersebut diakhiri dengan pemberian cenderamata kepada Kon Yeow.