Yayasan PKT sumbang RM800,000 biasiswa pendidikan atlet negeri dihargai

Admin

BATU KAWAN – Yayasan PKT menyumbangkan sejumlah RM800,000 biasiswa kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) bagi menjayakan program Penang Athletes Education, Career and Welfare Program (PACE).

 

Mewakili Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee menyatakan bahawa penyerahan tersebut bertujuan menambah manfaat dalam melahirkan para atlet negeri yang cemerlang dalam bidang sukan dan pendidikan.

 

“Sebanyak lima insentif diperkenalkan merangkumi Insentif Pendidikan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) secara ‘one-off’, Bantuan Biasiswa, Insentif Galakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) & Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Skim Kebajikan Atlet Negeri Pulau Pinang dan yang terkini iaitu Skim Insentif Sukan Awam Pulau Pinang 2030.

 

“Untuk makluman juga, seramai 159 atlet termasuk 37 orang penerima pada hari ini telah menerima manfaat melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM350,530,” ujarnya semasa Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan dan Bantuan Biasiswa Sukan MSNPP pada 20 Ogos lalu.

 

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Pengasas Yayasan PKT, Dato’ Dr. Michael Tio dan Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua.

 

SESI bergambar kenang-kenangan diadakan di akhir majlis penyerahan berkenaan.

Mengulas lanjut, Lip Chee secara peribadi turut menzahirkan perasaan berbesar hati atas peluang untuk saling bekerjasama dengan Yayasan PKT dalam menyokong program PACE.

 

“Satu lagi tambahan faedah telah diwujudkan melalui kerjasama ini di mana pihak Yayasan PKT menyumbang tajaan kepada 10 pelajar dengan Biasiswa Pendidikan Penuh iaitu ‘Academic Excellence Scholarship’ dengan jumlah keseluruhannya RM800,000.

 

“Justeru itu, atlet-atlet negeri Pulau Pinang yang berkelayakan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan berpeluang mendapat biasiswa penuh bagi program diploma serta ijazah sarjana muda dengan tawaran kursus-kursus menarik,” jelasnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

 

ANTARA atlet negeri yang menerima Insentif Galakan SPM serta IPT.

Mengakhiri sesi berucap, Lip Chee berkata pihaknya berharap lebih ramai pihak bukan kerajaan tampil bersama-sama Kerajaan Negeri dalam membantu para atlet negeri.

 

“Besar harapan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk melihat lebih banyak institusi pendidikan serta agensi-agensi korporat seperti ini tampil membantu para atlet mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan dan kerjaya,” katanya.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS