YEC 5.0 dan Merdeka Talent Show platform usahawan dan bakat belia Pulau Pinang

Admin
whatsapp image 2024 06 19 at 13.01.44 db568046

GEORGE TOWN – Pertandingan Keusahawanan Belia 2024 (YEC 5.0) dan Merdeka Talent Show 2024 membuka peluang kepada golongan belia di Pulau Pinang untuk menonjolkan bakat keusahawanan dan seni masing-masing.

Pendaftaran YEC 5.0 akan bermula pada 11 Jun sehingga 12 Julai 2024 manakala pendaftaran bagi Merdeka Talent Show 2024 akan bermula pada 13 sehingga 15 Julai 2024.

Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen, pertandingan ini bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri dan menonjolkan bakat keusahawanan belia Pulau Pinang.

“Ingin saya alu-alukan kepada para belia untuk menyertai kedua-dua pertandingan ini kerana ianya bukan sahaja berpeluang untuk memenangi hadiah semata-mata, namun dapat memupuk semangat keusahawanan dalam diri serta membina keyakinan diri.

“Saya percaya sinergi yang dicipta ini sudah tentu mampu membawa kedua-dua pertandingan ini ke platform yang lebih luas dan membuka peluang yang lebih jauh kepada para peserta kita,” ujarnya pada sidang media dekat Komtar di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Mydin Wilayah Utara, Azmin Saduruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Big Domain, Henry Tye; Pegawai Eksekutif Big Academy, Alen Yeoh; Pengurus Pemasaran Howei Event Management, Sam Shee; Pengarah Cemerlang Kolej Vokasional Batu Lanchang, Nazhar Kader Bawa dan Wakil Pejabat EXCO Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Muhammad Farhan Isyraq.

Pendaftaran adalah percuma dan hadiah keseluruhan yang bakal dimenangi bernilai sebanyak RM24,00 bagi YEC 5.0 dan RM14,000 bagi Merdeka Talent Show 2024.

Dua kategori yang bakal dipertandingkan untuk dua pertandingan tersebut adalah sekolah menengah serta kategori terbuka 18 hingga 35 tahun.

Sebarang maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang https://pydc.com.my/en/ atau hubungi Nur Shafinaz (013-5410937); Mohamad Azhari (011-11445866).

Oleh: NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY
Gambar: ALISSALA THIAN