YIPP bantu KN perkasakan Ummah

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOF

MANSOR Othman (depan, kanan) dan wakil dari Koperasi ANNUR (depan, kiri) berjabat tangan pada Majlis Penubuhan YIPP di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (depan, kanan) dan wakil dari Koperasi ANNUR (depan, kiri) berjabat tangan pada Majlis Penubuhan YIPP di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Bagi menterjemahkan cita-cita dan hasrat Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat untuk mengembalikan keagungan pembangunan Islam Pulau Pinang, insiatif khas berhubung penubuhan Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) telah diimplementasikan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, YIPP ditubuhkan berteraskan tiga agenda utama untuk memperkasakan ummah iaitu Pembangunan Insan, Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Hartanah. Ketiga skop yang saling melengkapi ini akan menjadi pemangkin kepada YIPP untuk terus merealisasikan agenda Kerajaan Negeri terutamanya di dalam bidang pembangunan modal insan.

“Antara pendekatan yang telah dilaksanakan oleh kita (Kerajaan Negeri) termasuklah menggiatkan program dakwah dan pendidikan, mempertingkatkan sekolah-sekolah pondok, pengiktirafan kepada para huffaz dengan harapan lebih ramai umat Islam yang benar-benar memahami Al-Quran dapat dilahirkan. Majlis Syura juga ditubuhkan bagi memantapkan lagi pengurusan hal ehwal agama Islam di negeri ini dan penubuhan Halal-Hub.

Dalam majlis yang sama, empat Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai bersama,  antaranya dengan Koperasi Ibnu Auf dari Wilayah Satun, Thailand dalam bidang perdagangan dan mikro-kredit dan Koperasi ANNUR Pulau Pinang Berhad bagi memajukan tanah di Sungai Chenaam, Sungai Acheh, Nibong Tebal bagi menyediakan bantuan perumahan kepada 140 rakyat termiskin.

Tambahnya, MoU bersama UDA Holdings, Institut Latihan Dakwah Pulau Pinang, International Muslim School, Singapura, Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan bank-bank tempatan bagi skim  mikrokredit akan turut ditandatangani.

“Kerajaan yakin cita-cita untuk mengembalikan kegemilangan Islam di seluruh Pulau Pinang akan dapat dicapai dengan perancangan dan pelaksanaan yang teratur,” katanya di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Abdul Malik Abul Kassim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad.