YIPP berhasrat tambah lokasi KAFA Menengah, bangunkan sekolah Islam antarabangsa

Admin
img 20240722 wa0012

GEORGE TOWN – Seramai 577 pelajar telah mengikuti program KAFA Menengah Pulau Pinang membabitkan 13 lokasi dekat masjid-masjid di seluruh negeri ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Dr. Mohamad Sofee Razak berkata bahawa pihaknya berhasrat untuk menambah lokasi penganjuran program tersebut yang telah memasuki tahun ketiga sejak ia diperkenalkan.

 

“KAFA Menengah merupakan usaha YIPP dan pihak kami berhasrat untuk menambah lokasi program berkaitan pada masa hadapan,” ujarnya pada sesi kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar sebentar tadi.

 

Mengiringi beliau ialah Pengurus YIPP, Muhammad Syauqi A. Rahim; Pegawai Konsultan Projek YIPP, Aidi Akhbal Mohamed Zainon dan Pegawai Tadbir Kewangan, Nurul Hazwa Roslan.

 

Selain program-program berkaitan pendidikan di bawah kelolaan YIPP, Mohamad Sofee menyatakan bahawa pihaknya turut memberi fokus untuk menubuhkan sekolah Islam antarabangsa pertama di Wilayah Utara.

 

“Setakat ini, sekolah antarabangsa yang dicadangkan itu akan menggunakan bangunan sedia ada yang telahpun digazetkan sebagai institusi pendidikan dekat Lintang Sungai Ara.

 

“Apabila direalisasikan kekal sekolah ini bakal menjadi sekolah Islam antarabangsa pertama di Pulau Pinang serta Wilayah Utara.

 

“(Dan) kami berhasrat untuk memulakan pengambilan tahun hadapan (2025) dengan sesi pendidikan sekolah rendah menggunakan silibus Cambridge International General Certificate Secondary Education (IGCSE),” jelasnya yang mahu melihat perkembangan pembangunan sekolah berkenaan dalam masa terdekat.

 

Dalam pertemuan selama 45 minit itu, turut dibangkitkan adalah berhubung latar belakang penubuhan dan peranan yang dimainkan oleh yayasan berkenaan sejak 2012 termasuk program-program serta projek-projek pembangunan yang memberi impak positif kepada rakyat Pulau Pinang.

 

Terdahulu, Kon Yeow menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohamad Sofee atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif YIPP yang baharu pada Mei baru-baru ini.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN