PENGLIBATAN dalam aktiviti berpersatuan bukan sahaja memberikan pendedahan kepada seseorang individu cara untuk berurusan dengan orang ramai, bahkan menjadikan kita lebih peka akan kepentingan bersama yang boleh dimanfaatkan demi kebajikan semua pihak.
Presiden Young Muslim Sports Club (YMSC), MUNOWER SADIQ atau lebih mesra disapa sebagai Haji Munower berkata, setelah lebih 20 tahun menerajui YMSC beliau percaya bahawa aktiviti berpersatuan juga mampu membentuk jati diri dan asas kepimpinan dalam jiwa seseorang.
“Saya mula diberi tanggungjawab sebagai presiden ini pada tahun 2002 yang mana merupakan presiden ketiga selepas tertubuhnya YMSC pada tahun 1978.
“(Dan) sebagai persatuan yang menekan aspek belia dan sukan, maka YMSC amat aktif,” ujarnya membuka bicara ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama jurugambar, ALISSALA THIAN di premis perniagaannya dekat Batu Ferringhi baru-baru ini.
Latar belakang dan legasi
Berasal dari Teluk Bahang, Haji Munower merupakan anak jati Pulau Pinang yang sejati. Pada usia 59 tahun, bapa kepada empat cahaya mata ini bersyukur kerana perjalanan hidupnya banyak memberikannya pengajaran dan pengalaman berharga.
Berpegang kepada falsafah ‘genggam bara api biar sampai jadi arang’, Haji Munower yakin bahawa apabila kita melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan ikhlas, kita perlu melakukannya sehingga berjaya atau mencapai matlamatnya.
“Itulah yang saya pegang sejak dahulu, apabila kita melakukan kerja, kita kena buat sehingga selesai dan bersungguh-sungguh…begitu juga dalam berpersatuan.
“Dahulu, ketika muda…golongan belia ni tak ada aktiviti selepas waktu sekolah atau kerja, jadi saya bersama-sama beberapa rakan yang juga merupakan peneraju pertama cadang untuk tubuhkan persatuan, tambah ketika itu, kes-kes sosial pun meningkat.
Jadi alhamdulillah setelah lebih 20 tahun menerajui YMSC ini, insyaAllah akan ada pimpinan baharu, pelapis dalam kalangan anak muda pada 2025 nanti.
“Buat masa ini, para pelapis ini diberikan pendedahan seluas-luasnya untuk mengatur dan menguruskan beberapa perkara di bawah biro-biro yang ada mengikut potensi masing-masing.
“(Dan) pastinya saya mahu meninggalkan legasi (dalam aktiviti berpersatuan bersama-sama YMSC) supaya segala matlamat yang kita sasarkan berjaya dicapai,” katanya yang mahu melihat golongan belia hari ini bukan sahaja aktif berpersatuan malahan berpengetahuan.
Jelasnya, YMSC mempunyai empat biro teras iaitu Biro Sukan, Biro Agama, Biro Sosial dan Biro Pendidikan. Malah, Wisma YMSC yang terletak di Lebuh King juga tidak pernah sunyi dengan bermacam-macam aktiviti.
Kita (YMSC) aturkan aktiviti sama ada secara harian, mingguan, bulanan dan tahunan misalnya kelas fardu ain yang diadakan antara waktu Asar hingga Maghrib untuk kanak-kanak, manakala untuk dewasa antara Maghrib sehingga Isyak secara harian.
“Kemudian setiap hujung minggu kita akan adakan aktiviti sukan seperti badminton dan karate selain mengadakan kelas zikir pada hari Isnin, kuliah ‘online’ (setiap Selasa) dan ceramah bulanan.
“Bagi aktiviti tahunan pula, kita adakan majlis berbuka puasa, sumbangan kepada asnaf dan golongan memerlukan dalam kalangan B40 dan juga solat tarawih.
“(Dan) kesemua aktiviti yang dirancang ini adalah berteraskan ‘serampang dua mata’ maknanya kita mahu lebih ramai mengenali YMSC dan tahu matlamat kami dalam berpersatuan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya yang berhasrat agar golongan pelapis dapat mewarisi legasi yang ditinggalkan terutama dalam amal kebajikan.
Tidak terhenti di situ, YMSC pernah melakar sejarah pada 2003 dengan melukis mural Jalur Gemilang terpanjang di Malaysia berukuran 541 meter sepanjang Jalan Tanjung Bungah berhadapan dengan Kelab Renang Pulau Pinang. Mural berketinggian 3.3 meter itu juga masih mengekalkan rekod sebagai “Lukisan Mural Jalur Gemilang Terpanjang Di Malaysia” dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) sehingga kini.
Puji perubahan dibawa pimpinan Pakatan Harapan
Menyifatkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebagai seorang yang penyayang, tidak menonjolkan diri dan tidak banyak kerenah, Haji Munower berkongsi pengalaman berurusan dengan mantan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir itu kira-kira 10 tahun lalu.
“Ada seorang ibu tunggal yang ingin memohon rumah tetapi menghadapi kesulitan dalam permohonannya dan datang berjumpa YMSC.
“Waktu itu, Tuan Chow (Kon Yeow) merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dan saya bersama rakan dalam YMSC mengajak ibu tunggal tersebut untuk berjumpa sendiri dengan beliau.
“Walaupun pada mulanya ada keraguan kerana macam-macam desas-desus (tentang pentadbiran Pakatan Harapan dan parti yang diwakili), tapi saya kata kita perlu cuba juga.
“MasyaAllah, baiknya manusia bernama Chow Kon Yeow ni, beliau bersetuju untuk jumpa usai mesyuarat di Dewan Undangan Negeri dan terus memberi pengesahan tanpa menyoal latar belakang politik ataupun fahaman.
Saya terkesima dan terus bertanya kepada beliau kenapa tidak menyoal dahulu latar belakang pemohon ini dan dia membalas (bahawa) dia dipilih sebagai ADUN bagi kawasan Padang Kota menjadi tanggungjawab untuk membantu penduduk di kawasannya selagi boleh tanpa mengenal bangsa, agama atau latar belakang.
“Saya kagum dengan karakter beliau, betullah kata-kata ‘don’t judge a book by its cover’, ‘tak kenal maka tak cinta’,” ceritanya sambil memuji corak pentadbiran baharu yang dibawa oleh pimpinan Pakatan Harapan sehingga kini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri yang ada hari ini juga cakna akan kebajikan rakyat dan bertindak mengutamakan rakyat terutama pemilik premis rumah ibadat atau pusat aktiviti berkebajikan dengan memberikan pengecualian cukai taksiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ke atas jenis hartanah tersebut.
“Kami (YMSC) juga diberikan pengecualian cukai taksiran MBPP bukan sahaja masjid, rumah ibadat tetapi kategori madrasah juga diberikan pengecualian, alhamdulillah…itupun masih ada lagi yang label Kerajaan (Negeri) hari ini macam-macam,” katanya yang yakin bahawa pimpinan sedia ada adalah yang terbaik.
Kongsinya lagi, pada bulan Ramadan tahun lalu, Kon Yeow juga sedia membantu YMSC dengan memberi peruntukan untuk membaik pulih Wisma YMSC setelah melihat keadaan wisma berkenaan pada majlis berbuka puasa.
“Alhamdulillah, sejumlah RM100,000 peruntukan diluluskan dengan tambahan RM20,000 untuk kerja-kerja pembaikan terutamanya masalah kebocoran bumbung dan siling.
“Peruntukan tersebut diluluskan setelah kami (YMSC) berjaya mematuhi syarat-syarat daripada pihak berkuasa tempatan dan juga garis panduan warisan yang ditetapkan,” jelasnya.
Mengalukan sumbangan umum
Terletak di Lebuh King, Wisma YMSC yang berwajah baharu telah dirasmikan oleh Kon Yeow pada 10 Februari 2023 lalu.
Difahamkan, kerja pengubahsuaian turut melibatkan pengorekan parit baharu, pendawaian semula, pemasangan permaidani baharu, pembinaan tandas dan lain-lain kerja berkaitan.
Walau bagaimanapun, menurut Haji Munower, pihak YMSC masih memerlukan RM40,000 bagi membiayai kerja-kerja akhir pengubahsuaian dan landskap di wisma tersebut.
Saya mengalu-alukan orang ramai yang ingin menyumbang boleh salurkan terus kepada kami, hasil sumbangan ini adalah bagi membiayai kos kerja pengubahsuaian yang masih berbaki.
“(Hal ini demikian kerana), terdapat peningkatan ketara bagi harga bahan mentah binaan yang mana sebelum ini, ikut perancangan awal adalah sekitar RM100,000 ke RM120,000 sahaja.
“Tetapi kos akhir mencecah sehingga RM160,000 maka masih ada baki (yang perlu dilangsaikan),” katanya yang juga merupakan pengurup wang berlesen sepenuh masa.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 07025010014204 atas nama Young Muslim Sports Club (YMSC). Jika terdapat sebarang pernyataan boleh hubungi kami di talian 0124211693.
Hasrat buka Madrasah Tahfiz Al-Quran
Bercerita mengenai impian, Haji Munower yang juga pengasas dan Pengerusi Madrasah Tamil Muslim Teluk Bahang mahu membuka Madrasah Tahfiz Al-Quran suatu hari nanti.
“Kalau boleh sebelum saya ‘menutup mata’ saya mahu bangunkan sebuah pusat pengajian al-Quran atau madrasah tahfiz,” katanya.
Madrasah Tamil Muslim Teluk Bahang yang terletak di Jalan Hassan Abas dekat Teluk Bahang merupakan salah satu pusat komuniti yang yang dibangunkan oleh Haji, adik beradik serta dibantu oleh masyarakat di Teluk Bahang yang menyediakan pengajian Al-Quran dan fardu ain kepada komuniti. Madrasah ini turut disokong oleh para dermawan yang budiman untuk perbelanjaan bulanan.
Malah, madrasah ini juga menjadi tumpuan bukan sahaja komuniti India Muslim malah yang berbangsa Melayu juga sering turut serta dalam pelbagai aktiviti termasuk program-program kebajikan kepada golongan asnaf dan memerlukan.
“Alhamdulillah, awal tahun 2023, YAB Ketua Menteri telah meluluskan pemberian sumbangan berjumlah RM88,000 bagi kerja-kerja menaik taraf dan baik pulih madrasah tersebut.
Selain kerja-kerja penukaran bumbung, lain-lain kerja seperti pemasangan jubin, tempat wuduk serta ruang solat yang selesa juga dilaksanakan.
“Saya harap projek ini dapat disempurnakan sebelum bulan Ramadan tahun ini bagi membolehkan komuniti di sekitar kawasan ini menjalani ibadah solat terawih seperti tahun-tahun sebelum ini, tapi dalam suasana lebih selesa, insyaAllah,” jelasnya yang turut turun padang meninjau kerja-kerja naik taraf yang dilakukan di madrasah berkenaan.