GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Perak ditawarkan harga air mentah yang lebih tinggi dari sebelumnya atau bersamaan dengan kadar yang diguna pakai dalam perjanjian penjualan air mentah oleh Negeri Pahang kepada Negeri Selangor demi merealisasikan projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari memberitahu bahawa tawaran tersebut dinyatakan secara bertulis dalam surat rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada 19 Oktober 2020.
Walau bagaimanapun menurutnya lagi, Pulau Pinang melalui permohonan rasmi yang dibuat oleh Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada 19 Oktober tahun lepas adalah untuk membeli air mentah pada harga berpatutan tetapi sehingga kini masih belum mendapat maklum balas lanjut daripada Menteri Alam Sekitar dan Air.
Zairil memberikan penjelasan itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dekat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 2 Disember 2021.
Dalam sesi soal jawab lisan sama, Zairil memberitahu bahawa Menteri Besar Negeri Perak memaklumkan bahawa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) sedang melaksanakan kajian mengenai keupayaan Sungai Perak untuk menampung keperluan air.
“Kerajaan Negeri Perak mengambil maklum opsyen-opsyen yang dibentang oleh Kerjaan Negeri Pulau Pinang seperti kadar air mentah yang lebih tinggi dan cadangan usahasama loji rawatan air Sungai Kerian.
“Kajian dijangka siap pada November 2021,” jelas Zairil yang juga ADUN Tanjong Bunga.
Tambah Zairil lagi, Kementerian Alam Sekitar & Air (KASA) telah melantik konsultan untuk kajian Penilaian Opsyen dan Pra-Rekabentuk Kejuruteraan SPRWTS yang mana kajian itu dijangka siap pada bulan November tahun ini.
Sebelum pada itu, Zairil turut memberitahu anggota Dewan Undangan Negeri bahawa bahawa kapasiti harian pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sunga Dua adalah purata 950 juta liter sehari.
Memetik pelaporan agensi negeri iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Zairil turut mendedahkan perincian kapasiti efektif air di Empangan Teluk Bahang, Empangan Air Itam dan Empangan Mengkuang pada tiap-tiap bulan, mulai Januari hingga Oktober tahun ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB