Zakat korporat Bank Rakyat RM1.12 juta, RM220,000 Bank Islam

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB & AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) masing-masing menyerahkan zakat korporat berjumlah RM1,127,968 dan RM220,000 kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP) baru-baru ini.

Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd. Razak menyerahkan replika cek zakat itu melalui Tuan Yang Terutama Negeri (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas.

“Pemberian zakat perniagaan ini adalah hasil keuntungan yang diperoleh menerusi operasi perniagaan di tujuh buah cawangan Bank Rakyat iaitu George Town, Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Bayan Baru, Jelutong, Jawi dan Kepala Batas,” ujarnya pada majlis penyampaian khas di Komtar di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman (Ahli Lembaga Pengarah ZPP) menyaksikan majlis tersebut.

Manakala, Pengarah Urusan BIMB, Datuk Seri Zukri Samat dalam satu majlis berasingan turut menyerahkan replika cek zakat melalui Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man.

Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, pihaknya berharap lebih banyak lagi badan korporat dapat menunaikan zakat perniagaan masing-masing seperti BIMB.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Mohd. Rashid, Abdul Malik, Mokhtar Mohd. Jait (Pegawai Kewangan Pulau Pinang), Azman Abdul Samat (Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang) dan Datuk Rosli Jaafar (Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC) menyaksikan majlis itu di Komtar di sini.