Zakat MAINPP  sasar kutipan RM200 juta tahun ini

b9a8db98 6579 4b17 be7a b48e6d738175
PENAGA – Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM200 juta pada tahun 2025 berbanding RM170 juta pada tahun lepas.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata peningkatan sasaran tersebut adalah sejajar dengan penjenamaan semula Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada Zakat MAINPP pada tahun ini.
“Kalau tahun lepas kita dapat lihat lonjakan sebanyak RM10 juta kepada RM170 juta melalui kutipan zakat, oleh itu pada tahun ini kita sasar kutipan akan bertambah sebanyak RM30 juta kepada RM200 juta.
“Dengan penjenamaan semula ini, kita akan menggerakkan usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai pembayaran zakat terutamanya kepada pemain industri.
“Hal ini kerana masih ramai masyarakat di luar sana kurang pengetahuan mengenai faedah membayar zakat pendapatan.
63de57d3 2207 4710 a311 4186f97570e4
“Malah, baru-baru ini Institut Al-Hady Centre telah melakukan kajian dan mendapati memang ada pihak yang tidak tahu tentang pelepasan cukai maksimum melalui pembayaran zakat ini,” katanya pada sidang media pada Majlis Pelancaran Penjenamaan Zakat dan Wakaf MAINPP Tahun 2025 semalam.
Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato Dr.  Mohd. Suki Othman; Setiausaha MAINPP, Dato’ Roshidi Hussain;Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Dato’ Amran Hazali dan pimpinan-pimpinan agensi agama Islam Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata bahawa penjenamaan semula ZPP kepada Zakat MAINPP juga penting berdasarkan kajian mengenai kebolehpasaran produk dan market positioning.
“Justeru, adalah diharapkan agar dengan penjenamaan semula ini membolehkan dua entiti agama Islam Pulau Pinang akan lebih dekat dengan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membayar zakat dan wakaf,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung menyatakan bahawa kesedaran pemain industri tentang kepentingan pemilikan sijil halal turut meningkat di Pulau Pinang.
“Meskipun jumlah permohonan banyak diterima, namun kita tetap melakukan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan pengusaha sentiasa mengikuti prosedur yang betul dan memastikan produk yang dihasilkan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
“Ini kerana kita tak mahu timbul isu pengusaha hanya mematuhi syarat ketika membuat permohonan, dalam tempoh setahun ini juga kita tidak menerima sebarang aduan berhubung sijil halal palsu,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD