SEBERANG JAYA – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang melalui program zakatnya, Zakat MAINPP mengambil inisiatif menambah baik skim agihan bantuan persekolahan agar lebih teratur dan telus.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, penambahbaikan tersebut melibatkan perubahan dari segi kelayakan penerima bantuan yang mana hanya melalui pihak sekolah sahaja.
“Jika sebelum ini agihan dan penyaluran nama adalah dari Pusat Khidmat atau Pejabat Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK), namun tahun ini perubahan operasi iaitu nama satu saluran sekolah sahaja.
“Sebabnya pihak sekolah boleh merancang agar penerima tidak bertindih, jadi tidak ada murid yang menerima dua bantuan, maka penyampaian bantuan kepada asnaf yang memerlukan itu lebih berkesan dan ramai lagi akan terima.
“Hanya pihak sekolah sahaja yang mengetahui sumbangan lain (yang diterima) daripada pihak swasta atau korporat, pihak sekolah sahaja yang lebih tahu murid mana yang sudah menerima (bantuan) dan belum terima,” ujarnya yang juga Yang Dipertua MAINPP.
Terdahulu, Mohamad hadir menyempurnakan penyampaian bantuan pada Majlis Skim Agihan Zakat – Pembelian Tanpa Tunai Kembali Ke Sekolah 2025 Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dekat sebuah pusat beli belah di Jalan Baru kelmarin.
Difahamkan, seramai 5,049 murid asnaf menerima baucar pakaian sekolah tahun ini yang membabitkan sumbangan daripada dana zakat sebanyak RM757,350.
“Sebanyak 24 panel penyedia pakaian sekolah telah bekerjasama dengan Zakat MAINPP bagi penebusan baucar tunai bernilai RM150 di seluruh negeri Pulau Pinang.
“Setiap penerima boleh membuat penebusan melibatkan keperluan seperti pakaian sekolah, uniform, pakaian sukan atau beg sekolah, kasut dan alat tulis.
“Secara keseluruhan setakat ini, bagi Skim Agihan Zakat – Pembelian Tanpa Tunai Kembali Ke Sekolah 2025 adalah berjumlah RM3.198 juta yang melibatkan seramai 21,272 murid,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad memberitahu, tapak perkuburan berpusat di Sungai Dua, Seberang Perai Utara (SPU) kini berada dalam proses akhir untuk disiapkan.
Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung menyatakan bahawa Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7 juta bagi membeli sebidang tanah di Sungai Dua untuk menampung keperluan umat Islam.
“Proses tambakan tanah baru sahaja selesai, maka proses selanjutnya adalah proses teknikal pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Jadi pada pandangan saya, pihak tertentu tidak perlu buat himpunan untuk nyatakan itu dan ini kerana di Pulau Pinang ini tiada isu kekurangan tanah kubur.
“Tidak ada lagi kes yang kita terpaksa hantar jenazah ke negeri lain untuk dikebumi kerana isu tidak cukup tanah, kalau ada pun itu adalah hal permintaan keluarga dan sebagainya bukan sebab tidak cukup tanah,” tegasnya.
Justeru, beliau menasihati semua pihak agar tidak memanipulasikan isu tanah kubur ini hingga timbul persepsi negatif.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI