Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
GEORGE TOWN – Konsortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. (Zenith) baru-baru ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Ewein Zenith Sdn. Bhd. (Ewein) untuk membangunkan sebuah Bandar Kesihatan Impian di atas sebidang tanah seluas 50 ekar di Tanjung Pinang dekat Tanjung Bungah di sini.
Pengerusi Zenith, Datuk Zarul Zulkifli berkata, Ewein, anak syarikat Ewein Land Sdn. Bhd. telah dipilih oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi Projek Permulaan atau Entry Point Project (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk pemajuan bandar kesihatan.
“Bandar kesihatan ini akan siap sepenuhnya menjelang Disember 2020 dengan beberapa komponen utama termasuk pusat kesihatan, pusat peniagaan dan pakar kesihatan, resort serta hotel yang lengkap dengan perkhidmatan rawatan seperti anti-penuaan dan estetika,” jelasnya pada sidang media majlis pemeteraian MoU tersebut di sini baru-baru ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hadir menyaksikan majlis berkaitan. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Ewein yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Ewein, Datuk Ewe Swee Kheng. Jelas Zarul, pembangunan bandar kesihatan tersebut kelak akan menjana sejumlah RM2.5 bilion bagi Pendapatan Negara Kasar (GNI) Pulau Pinang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM15 bilion di samping membuka 10,000 peluang pekerjaan untuk warga Pulau Pinang.
“Bandar Kesihatan Impian ini akan menjadi pusat sehenti (one-stop center) yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan termasuk penjagaan alternatif Halal (khas) yang pertama seumpamanya untuk pesakit yang beragama Islam,” ujar beliau.
Projek bandar kesihatan adalah sebahagian dari perjanjian pertukaran tanah yang diberikan kepada Zenith oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2013 untuk membangunkan 6.5 kilometer projek terowong dasar laut dan tiga projek lebuhraya yang bernilai RM6.3 bilion.