ZPP agih RM19.815 juta kepada penerima skim dermasiswa dan permulaan IPT

PERAI – Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyerahkan agihan peruntukan berjumlah RM19.815 juta kepada 8,035 orang pelajar yang layak menerima Skim Dermasiswa Pengajian dan Permulaan IPT bagi tahun 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali berkata daripada jumlah itu sebanyak RM14.515 juta disalurkan menerusi Skim Dermasiswa Pengajian kepada 3,545 orang pelajar yang mengikuti pengajian dalam negara.

Tambahnya, baki RM5.3 juta lagi diserahkan kepada 4,490 orang pelajar yang berjaya meneruskan pengajian di peringkat matrikulasi, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah Doktor Falsafah di dalam dan luar negara.

“ZPP percaya bahawa peningkatan lebih ramai rakyat negeri Pulau Pinang khususnya generasi muda Muslim yang memiliki kelulusan pengajian di peringkat tertinggi, akan menjadi pemangkin untuk mencapai status negeri maju lagi sejahtera selaras Visi Penang2030.

“Dalam konteks ini, ZPP selaku agensi di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berperanan memastikan segala potensi yang ada dilonjakkan dengan sebaik-baiknya.

“Justeru, mewujudkan saluran dermasiswa dan bantuan permulaan kemasukan ke IPT yang bertepatan dengan falsafah ibadat zakat adalah salah satu tugas paling kritikal yang perlu diusahakan oleh ZPP,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Skim Dermasiswa Pengajian dan Permulaan IPT Tahun 2023 dekat sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, Amran berkata Skim Dermasiswa Pengajian dan Skim Permulaan IPT merupakan skim agihan zakat yang mempunyai impak yang besar kepada masyarakat Muslim di Pulau Pinang.

“Ia mempunyai signifikan yang jelas tentang agihan yang disalurkan daripada agihan asnaf fi sabilillah yang membawa maksud perkara yang memberikan maslahat dan kebajikan umum kepada umat Islam.

“(Dan) ZPP menyedari bahawa keberkesanan agihan zakat melalui skim zakat pendidikan ini merupakan faktor penting agihan zakat produktif dalam usaha mewujudkan keseimbangan sosioekonomi ummah di negeri ini.

“Jadi saya sangat berharap agar pelajar-pelajar dapat menggunakan amanah dana zakat ini sebaik mungkin untuk terus memperjuangkan keagungan agama Islam dan mengubah nasib umat, masyarakat dan keluarga ke arah lebih baik melalui pendidikan,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad agihan zakat pendidikan adalah bertepatan dengan pendekatan model ekonomi Madani yang bertitik tolak daripada falsafah pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang manusiawi berteraskan nilai, kemasyarakatan, peradaban dan norma.

“Hal ini juga selaras dengan iltizam kerajaan melalui gagasan Malaysia Madani untuk mengislahkan sistem pendidikan negara bagi melahirkan bakat tersedia pada masa hadapan,” katanya lagi.

Katanya lagi, pembangunan pendidikan yang berteraskan manusiawi secara holistik juga disokong melalui pembentukan modal insan terutama yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Justeru, sangat penting bagi para pelajar di Pulau Pinang memahami aspirasi pendidikan yang digagaskan oleh kerajaan negeri melalui Visi Penang 2030 untuk menjadikan negeri ini sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Aspirasi Negara.

“Oleh itu, skim agihan zakat pendidikan boleh diperkasakan lagi oleh ZPP khususnya menerusi bidang STEM agar generasi Muslim masa hadapan tidak ketinggalan dalam pembangunan pendidikan yang melibatkan sains dan teknologi,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS