ZPP akan terus jejak asnaf layak terima bantuan baik pulih kediaman, bina baharu rumah – TKM1

Admin
1c18cdb9 0cc4 4e71 b423 11b294349450 MOHAMAD Abdul Hamid (tiga dari kanan) menyampaikan replika kunci rumah Inapan Kasih ZPP kepada Noraini Mohamad (enam dari kiri) di Kampung Setol, Permatang Sungai Dua di sini pada 14 Ogos 2024.

 

SUNGAI DUA – Setakat ini Zakat Pulau Pinang (ZPP) telah siap membina 10 buah rumah asnaf bernilai RM80,000 seunit di bawah Skim Inapan Kasih dan akan menyiapkan baki enam unit kediaman lain sebelum penghujung tahun 2024.

Sehingga Julai tahun ini juga agensi negeri tersebut turut berjaya membaik pulih sejumlah 40 buah rumah asnaf dengan peruntukan kira-kira RM800,000.

2d126aaf 1639 4e81 b847 51737dff5410
MOHAMAD Abdul Hamid

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memberitahu perkara itu semasa sidang media berkaitan, seusai Majlis Penyerahan Replika Kunci Rumah Inapan Kasih ZPP kepada penerima, Noraini Mohamad di Kampung Setol, Permatang Sungai Dua di sini pada 14 Ogos 2024.

“Program menjejak rumah asnaf fakir dan miskin yang layak untuk kita (ZPP) golongkan mereka di bawah skim projek membaik pulih ataupun bina rumah (Inapan Kasih) bagi peruntukan bagi tahun 2024 (akan diteruskan).

“Jadi, saya menyeru kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk kita (ZPP) salurkan bantuan sama ada baik pulih rumah atau bina (baharu) di bawah Skim Inapan Kasih ZPP sangat dialu-alukan,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.

Sebelum itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung turut menyampaikan Surat Setuju Terima projek pembinaan rumah Inapan Kasih kepada seorang penerima lain, Mohd. Jamil Jaafar di Pekan Darat, Sungai Dua.

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali; dan mantan ADUN Sungai Dua merangkap bekas Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Dato’ Mohamad Muhamad Yusoff Mohd Noor.

af21e2e1 05f2 4dfe a355 234621c6cf46
NORAINI Mohamad

Noraini, 45, seorang ibu tunggal kepada empat anak berusia antara 21 hingga 9 tahun yang ditemui kemudian menzahirkan rasa bersyukur dan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Lebih setahun juga memohon, tidak sangka mendapat replika kunci rumah begitu cepat pada hari ini.

“Bersyukur kepada Allah S.W.T., dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, dengan bantuan rumah di bawah Skim Inapan Kasih ini dapat membantu kamu sekeluarga,” katanya.

20a3d9cf e113 49c4 913f c1a4509a2af8
MOHD. Jamil Jaafar (berdiri, dua dari kiri) dan isteri menerima surat setuju terima cadangan pembinaan unit kediaman di bawah Skim Inapan Kasih ZPP di rumah tempat mereka masih menyewa di Pekan Darat di sini pada petang tadi.

Nada hampir serupa dizahirkan oleh Mohd. Jamil, 51.

36da5a6c 5569 4960 8c17 8fb1835ec99e
MOHD Jamil Jaafar

“Sebelum ini, saya bersama-sama isteri (Noorhayati Din, 53) dan tiga anak (berusia antara 20 hingga 11 tahun) terpaksa menyewa walaupun tidak mampu.

“Isteri saya, lumpuh dan perlu rawatan dialisis dari semasa ke semasa, yang mana di luar kemampuan saya sebagai pesawah.

“(Dan) dengan bantuan zakat (ZPP) ini, tiada perkataan boleh saya luahkan melainkan bersyukur kepada Tuhan, dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS