SEBERANG JAYA – Seramai 50 usahawan dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya menerima sumbangan berjumlah RM2,000 setiap seorang daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul hamid berkata sumbangan membabitkan peruntukan keseluruhan RM100,000 itu adalah sebagai suntikan modal bagi membantu usahawan Muslim mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.
“Saya berharap agar agihan sumbangan yang diterima melalui program ini dapat dimanfaatkan dengan penuh rasa tanggungjawab oleh setiap peserta untuk mengembangkan lagi perniagaan melalui pensijilan Halal Malaysia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya ketika berucap pada program Jelajah Taklimat Bimbingan Kecemerlangan Halal Pulau Pinang KADUN Seberang Jaya 2024 dekat Dewan Utama MPKK Jalan Tenggiri di sini semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Halal International (PHI), Mohd. Azraie Ramli dan Penyelaras KADUN Seberang Jaya, Fayyadh Afiq Abbakqry Jaafar Sidek.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memeritahu bahawa jumlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di Pulau Pinang meningkat kepada 1,742 syarikat setakat September tahun ini.
“Pada tahun 2008 terdapat 56 buah syarikat yang memiliki pensijilan halal di negeri ini manakala pada tahun ini telah meningkat kepada 1,742 syarikat termasuk syarikat berkaitan produk makanan, bahan gunaan, premis perniagaan, hotel, rumah sembelihan, kosmetik dan logistik.
“Sejak awal Januari hingga September 2024, data pemegang SPHM di Negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 77 peratus dikuasai oleh syarikat bukan Muslim (bukan bumiputera dan milikan asing) manakala baki 23 peratus lagi pula dimiliki oleh syarikat Muslim bumiputera,” jelasnya.
Tambahan pula katanya, menjelang tahun 2030, industri halal domestik diunjurkan mencapai USD113.2 bilion seperti yang dilaporkan dalam Pelan Industri Halal Malaysia 2030 (HIMP 2030).
“Hal ini sudah pasti memberi indikator penting buat kita untuk lebih proaktif dalam meningkatkan bilangan pemegang pensijilan halal Malaysia JAKIM di negeri Pulau Pinang seterusnya memanfaatkan prospek yang bakal berkembang dalam industri halal menjelang 2030,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD