ZPP berjaya ‘bantu’ 68 usahawan, tahniah! – TKM1

Admin
42dbd912 040f 4293 95d4 0723f46ee936 MOHAMED Abdul Hamid

BAYAN LEPAS – Seramai 68 usahawan yang mengikuti program pembangunan dan pemerkasaan asnaf di bawah Zakat Pulau Pinang (ZPP) berjaya mengeluarkan zakat perniagaan bagi tahun 2022 dan 2023 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM62,401.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata pihaknya menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 100 usahawan lagi berjaya menerusi program pembangunan dan pemerkasaan yang sama di bawah agensi negeri tersebut.

“Ini antara objektif kita (ZPP) iaitu mengeluarkan mereka dari kelompok penerima zakat menjadi golongan pembayar zakat (perniagaan).

“Menerusi program ‘inkubator’ ini, yang mana kita mengambil mereka dan memberi latihan serta memberi latihan dalam bentuk kursus-kursus (berkaitan) perniagaan yang mereka ceburi.

“Sasaran kita daripada 68 (usahawan) itu akan meningkat kepada 100 orang,” ujarnya dalam sidang media berkaitan di Hotel Amari pada 21 Mei 2024.

53579912 48c3 4a38 bf49 fc0d4df19e50Sebelum itu, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat merasmikan Majlis Apresiasi Usahawan Zakat Pulau Pinang 2024 di sini.

Semasa berucap, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung antara lain memberitahu bahawa tujuan ZPP menganjurkan program pembangunan dan pemerkasaan asnaf adalah mengambil kira ramainya usahawan terjejas dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Program-program usahawan zakat ini adalah bertepatan dengan usaha Kerajaan Malaysia Madani untuk melahirkan usahawan sejajar dengan sasaran di bawah Rangka Kerja Keusahawanan Nasional (NEF) untuk melahirkan 50,000 usahawan dengan mengubah paradigma usahawan supaya terlibat dalam bidang keusahawanan dan perniagaan,” jelasnya lagi.

Turut berucap, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI