ZPP kekal momentum, berjaya kutip RM147.25 juta tahun 2021

SEBERANG JAYA – Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengekalkan momentum dari segi prestasi kutipan dan agihan zakat pada tahun lepas walaupun masih berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, ZPP berjaya mengutip sejumlah RM147,247,345.90 juta merangkumi zakat harta dan zakat fitrah pada tahun 2021 berbanding RM130,857,624.07 pada tahun sebelumnya.

“Prestasi kutipan zakat harta adalah berjumlah RM141,219,358.71 juta pada tahun 2021 berbanding RM125,297,037.26 pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak 12.58 peratus.

“Bagi zakat fitrah pula, jumlah yang berjaya dikutip adalah RM6,027,987.19 berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM5,580,586.81,” katanya ketika membentangkan Laporan Prestasi Kutipan Agihan ZPP dekat sini pagi tadi.

Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman ketika membentangkan prestasi ZPP bagi tahun 2021.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dr. Roslan Ahmad; Setiausaha MAINPP, Dato’ Samsudin Bakar serta Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

Ahmad Zakiyuddin berkata, bilangan pembayar zakat harta (muzakki) pada tahun 2021 adalah seramai 74,183 orang berbanding 70,677 pada tahun 2020.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan seramai 3,506 orang atau 4.96 peratus,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

Dalam perkara berkaitan, beliau memberitahu bahawa kutipan zakat melalui potongan gaji atau Skim Sakinah adalah berjumlah RM60,627,842.67 pada tahun 2021 berbanding RM58,245,885.91 pada tahun sebelumnya.

“Kadar peningkatan kutipan melalui skim ini adalah sebanyak RM2,381,956.76 atau 4.08 peratus.

“Kutipan zakat harta menerusi portal www.zakatpenang2u.com turut meningkat kepada RM3,252,976.33 pada tahun 2021 berbanding RM3,164,043.64 pada tahun 2020 dengan peningkatan sebanyak RM88,932.69.

“Peningkatan mendadak ini memberi gambaran bahawa pembayar zakat di Pulau Pinang sudah mula menggemari kaedah pembayaran secara digital yang dilihat lebih mudah dan cepat,” ulasnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua MAINPP berkata peningkatan kutipan zakat adalah dipengaruhi oleh aktiviti dakwah zakat secara agresif dan kempen secara digital yang dijalankan dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Selain itu, kempen media sosial dan kewujudan portal dalam talian juga memberi impak terutamanya dalam inisiatif pembayaran zakat tanpa tunai dengan jumlah yang direkodkan pada tahun 2021 ialah sebanyak RM123,809,076.62.

“Zakat Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan kutipan tertinggi sebanyak 69.7 peratus berbanding tahun 2020,” jelasnya.

Ahmad Zakiyuddin bersama-sama barisan kepimpinan ZPP ketika mengadakan sidang media.

Katanya lagi, prestasi ekonomi Pulau Pinang yang berada dalam jajaran pemulihan positif turut memberikan kesan signifikan kepada peningkatan kutipan zakat perniagaan sebanyak 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pertambahan bilangan pembayar zakat dengan amaun yang agak besar dalam kalangan individu dan syarikat-syarikat juga menjadi faktor kepada peningkatan jumlah kutipan zakat pada tahun lepas,” ulasnya lagi.

Menyentuh aspek agihan zakat kepada asnaf pula, beliau memberitahu bahawa sepanjang tahun 2021 ZPP berjaya mengagihkan sebanyak RM141,551,752.06 berbanding tahun 2020 yang merekodkan sejumlah RM126,581,574.21 iaitu meningkat 11.8 peratus.

“Walau bagaimanapun, bilangan penerima zakat telah menurun daripada 41,690 orang pada tahun 2020 kepada 40,711 orang pada tahun lepas iaitu berkurangan sebanyak 3.07 peratus.

“Penurunan jumlah penerima zakat adalah kerana skim bantuan awal persekolahan zakat bagi tahun 2022 terpaksa ditangguhkan ekoran penundaan pembukaan sesi persekolahan pada tahun ini,” ulasnya lanjut.

Jelasnya lagi, ZPP telah menambah nilai skim sedia ada pada tahun lepas dengan memfokuskan kepada bantuan pasca pandemik COVID-19 terutamanya bagi usahawan asnaf melibatkan kerjasama stategik dengan syarikat-syarikat korporat.

“Oleh itu, jumlah Skim Bantuan Khas Zakat COVID-19 sepanjang tahun 2021 hanya merekodkan kira-kira RM2.96 juta disebabkan kewujudan pelbagai skim lain oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk membantu golongan terjejas

“Namun begitu, skim bantuan COVID-19 akan tetap diteruskan pada tahun ini memandangkan penularan pandemik COVID-19 belum berakhir,” katanya.

Dalam perkara berkaitan, Ahmad Zakiyuddin berkata susulan prestasi ekonomi yang semakin pulih, ZPP menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM161.5 juta bagi tahun ini.

“ZPP menyasarkan pembayar seramai 79,500 muzakki yang terdiri daripada individu dan entiti perniagaan yang layak,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD