ZPP kemuka SOP kutipan zakat fitrah, termasuk kaunter sementara pandu lalu

Admin

SEBERANG JAYA – Zakat Pulau Pinang (ZPP) hari ini mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kutipan zakat fitrah termasuk melalui kaunter sementara pandu lalu.

Pun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali memberitahu bahawa kaedah pembayaran zakat fitrah secara konvensional tersebut mestilah mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta peraturan-peraturan yang digariskan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

AMRAN Hazali menunjukkan poster terbitan ZPP yang tertera sembilan SOP pemungutan zakat fitrah yang wajib dipatuhi oleh amil dan ‘muzakki’, ketika PKP, dalam sidang media di sini pada pagi tadi.

“Hanya amil fitrah yang benar-benar sihat dibenarkan bertugas pada jarak sosial satu meter (m) dengan ‘muzakki’ (pemberi zakat).

“ZPP akan membekalkan pelitup muka dan sanitasi tangan kepada (1,755 orang) amil (ejen pemungut zakat) yang ditauliahkan (meliputi) 239 kariah di negeri ini.

“ZPP melalui surat makluman yang telah diedarkan kepada semua amil fitrah di Pulau Pinang telah mencadangkan beberapa tempat yang luas kawasannya dan sesuai, seperti balai raya, dewan serba guna, kaunter sementara pandu lalu dan seumpamanya sebagai opsyen yang boleh dipertimbangkan oleh pihak masjid kariah,” jelasnya dalam sidang media di Ibu Pejabat ZPP, Bandar Perda di sini, pagi tadi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) ZPP, Ustaz Mohd. Kairi Ghazali dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pentadbiran) ZPP, Mohd. Fuad Md. Isa turut sertai sidang media ringkas tersebut.

Menurut Amran Hazali, ZPP berharap agar pihak pentadbir masjid kariah menyediakan jadual bertugas amil fitrah secara tersusun tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pembayar zakat fitrah dan amil fitrah yang bertugas.

“Suka saya sekali lagi tekankan di sini bahawa dalam tempoh PKP ini, ZPP ingin menasihatkan masyarakat Islam di Pulau Pinang supaya menunaikan zakat fitrah dan zakat harta mereka secara dalam talian atau secara digital kerana (kaedah-kaedah) ini adalah sebahagian daripada ikhtiar kita untuk menghindarkan diri dan ahli keluarga yang kita sayangi daripada dijangkiti wabak COVID-19,” jelasnya lagi.

Selain itu, beliau memberitahu ZPP mula mengedarkan poster yang tertera sembilan SOP yang wajib dipatuhi oleh amil dan muzakki kepada pentadbir-pentadbir masjid kariah.

“Masjid kariah akan membuat hebahan kepada anak kariah masing-masing mengenai tempat cadangan untuk menunaikan ibadah zakat fitrah ini,” jelasnya lagi.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Amran Hazali memberitahu bahawa jumlah kutipan zakat fitrah bagi tahun lepas (1440 Hijrah) adalah RM5.06 juta.

“Bagaimanapun, pada tahun 1441 Hijrah, sasaran kutipan zakat fitrah sebanyak RM6 juta yang dicadangkan sebelum ini adalah tanpa mengambil kira negara akan diuji dengan penularan wabak COVID-19.

“Kami (ZPP) berharap para muzakki dapat terus memberi keparcayaan kepada ZPP…kerana kami (ZPP) percaya lebih banyak dana zakat diperlukan pasca PKP nanti.

“(Maka,) bayaran zakat anda amat penting demi kelangsungan hidup golongan asnaf terutama dalam kalangan fakir dan miskin,” jelasnya lagi.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB