ZPP kutip RM42.5 juta menerusi Skim Sakinah tahun ini

GEORGE TOWN – Zakat Pulau Pinang (ZPP) sehingga 30 September 2023 berjaya mengumpul sebanyak RM42.5 juta menerusi Skim Potongan Zakat Pendapatan atau Skim Sakinah yang dilancarkan pada tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali berkata kutipan tersebut meningkat sebanyak 3.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022 iaitu berjumlah RM40.9 juta.

“Alhamdulillah, peningkatan jumlah kutipan ini didorong oleh jumlah majikan yang bertambah saban tahun.

“Namun, ZPP sedar bahawa kempen kesedaran zakat secara praktikal boleh dilaksanakan dengan bantuan yang signifikan daripada pihak majikan terutama daripada agensi Kerajaan Negeri.

“Justeru, ZPP berusaha menyemarakkan informasi mengenai pembayaran zakat penggajian terutamanya dalam kalangan penjawat awam kerana rata-rata mempunyai pendapatan tetap menerusi gaji yang dibayar secara bulanan,” katanya ketika berucap pada Program Bicara Santai dan Kempen Zakat Pendapatan dekat Auditorium A, Komtar di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pentadbiran) ZPP,  Mohamad Fuad Md, Isa; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) ZPP, Mohamad Kairi Ghazalli serta Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd Sukki Othman.

Selain itu kata Amran, ZPP turut menyediakan inisiatif menarik untuk diberikan kepada pembayar-pembayar zakat melalui Skim Kafalah Mahabbah.

“Skim Kafalah Mahabbah ini membolehkan para pembayar zakat yang menunaikan zakat minimum RM100 setahun akan mendapat khairat kematian berjumlah RM1,000 jika berlakunya kematian,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Rizal menyarankan supaya semua pegawai dan kakitangan awam beragama Islam di negeri Pulau Pinang menunaikan zakat pendapatan melalui pemotongan gaji secara bulanan.

“Kemudahan yang disediakan oleh ZPP melalui potongan gaji bulanan merupakan inisiatif yang baik dan memudahkan kakitangan menunaikan kewajipan berzakat,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT