ZPP sasar kutipan zakat RM5.2 juta tahun ini, lantik 1,677 amil

Admin
KEPALA BATAS – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP) melantik seramai 1,677 orang amil bagi melaksanakan kutipan zakat tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata, jangkaan kutipan tahun ini mencecah RM5.2 juta melibatkan 700,000 penduduk Islam di Pulau Pinang.
“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang telah menetapkan kadar kutipan sebanyak RM7 seorang yang mana kadar ini ditetapkan berdasarkan kepada harga beras semasa di pasaran yang mengalami naik turun.
“Sebanyak 231 pusat pungutan zakat fitrah termasuk kaunter-kaunter cawangan ZPP dibuka sepanjang bulan Ramadan untuk memudahkan pembayaran zamat dilakukan seawal 1 Ramadan 1440H,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah Negeri Pulau Pinang Tahun 2019M/1440H bertempat di Dewan Milenium di sini semalam.
Hadir sama Yang di-Pertua MAINPP, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim.
Kesemua amil-amil yang dilantik tersebut mewakili kariah masjid, Masjid Negeri, Masjid Daerah (6), surau, sekolah sains, Ibu Pejabat Daerah Polis Diraja Malaysia (PRDM) bagi setiap daerah, Jabatan Penjara Malaysia, kem-kem tentera darat, udara dan laut, politeknik serta Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin memaklumkan bahawa mengikut bancian pihak ZPP seramai 488 orang kategori fakir dan  miskin (8,269 orang) layak menerima wang sumbangan zakat.
Jelasnya, jumlah tersebut menjadikan keseluruhan sebanyak 8,697 orang layak pada tahun ini.
“Peruntukan agihan Zakat kepada fakir miskin tahun ini telah ditetapkan sebanyak RM500 seorang bagi fakir dan RM450 (miskin).
“Sejumlah hampir RM2.45 juta agihan zakat fitrah akan diberi menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.
Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zakiyuddin turut mengumumkan inisiatif Wakaf Pulau Pinang menyediakan saluran alternatif untuk berwakaf.
“Wakaf Pulau Pinang telah mengambil satu lagi altenatif untuk menggalakkan orang ramai untuk berwakaf iaitu melalui aplikasi SNAP n PAY.
“Melalui aplikasi ini pewakaf boleh melaksanakannya melalui telefon pintar masing-masing dan ia menjadikan  aplikasi ini sebagai tatacara berwakaf menjadi lebih mudah, selamat dan pantas,” maklum beliau.