SELAMA lebih dua tahun berhadapan pelbagai cabaran akibat pandemik COVID-19, kini tiba masanya untuk membuka lembaran baharu bagi menyemarakkan lagi semangat pemulihan di Pulau Pinang.
Terbaru pada 10 Jun 2022, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melancarkan Kempen PENANG (sebut Love Penang) yang merupakan seruan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang untuk bangkit dan bertindak dalam membina masyarakat yang bukan sahaja penyayang serta harmoni tetapi juga berdaya tahan menerusi pendekatan menyeluruh masyarakat atau ‘whole society approach’.
Melalui inisiatif ini juga, rakyat Pulau Pinang akan berganding bahu dan bangkit bertindak dalam memastikan negeri ini menonjolkan potensinya sebagai sebuah tempat yang berdaya huni dan mampan bukan sahaja untuk anak-anak dan cucu-cicit tetapi generasi akan datang.
Wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI berkesempatan menemu ramah beberapa individu yang turut memainkan peranan dalam memastikan kempen ini dapat diserlahkan pada peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. KUMARESAN ketika dihubungi memberitahu bahawa Kempen PENANG merupakan kempen yang baik untuk menanam nilai-nilai murni dan jati diri sebagai rakyat Pulau Pinang.
Rakyat Pulau Pinang perlu bersama-sama menyokong inisiatif ini, seperti bait-bait dalam lagu ‘Untuk Negeri Kita’.
“Sokongan rakyat amat penting dalam mengekalkan keunikan dan kepelbagaian agama dan budaya yang ada di negeri ini.
“Hal ini, sekali gus akan menjamin keharmonian, kesejahteraan dan perpaduan negeri,” ujarnya yang turut bersemangat mahu melaungkan ‘Love Penang’ sehingga ke peringkat akar umbi.
Bagi NOOR AMIRAH ABDUL RAZAK, Pulau Pinang sememangnya berada di bawah pentadbiran yang baik diterajui oleh Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow kini.
“Jika dilihat semasa pandemik, pentadbiran negeri giat berusaha untuk mengharungi dan mengekalkan kesejahteraan ekonomi.
“Rekod pelaburan yang memberangsangkan dengan pelan pembangunan yang seimbang serta kebajikan rakyat sebagai keutamaan saya yakin negeri ini dapat merealisasikan Visi Penang2030.
(Dan) Kempen PENANG pula, bagi saya adalah sebuah inspirasi buat rakyat Pulau Pinang, yang mudah dan dekat di hati.
“Apabila kita sayangi negeri kita, semakin kita punya jati diri yang akan tentukan kemana hala tuju kita pada masa hadapan.
“Oleh itu, sama-sama kita sokong dan sama-sama kita ambil tanggungjawab merealisasikan cita-cita ini,” jelasnya yang berkhidmat sebagai penjawat awam di Komtar.
Wartawan Buletin Mutiara turut berpeluang mendapatkan pandangan daripada dua badan bukan kerajaan (NGO) yang begitu signifikan dalam membantu rakyat di Pulau Pinang.
DR. NGOO SEONG BOON, Pengasas Bersama Penang Care Society (PgCare) melalui perbualan di telefon berkata, kempen terbaru ini sangat memberi inspirasi apatah lagi ia sejajar dengan objektif penubuhan PgCare.
Sebagai sebuah NGO yang sebelum ini (semasa pandemik) memainkan peranan membantu dan memudahcarakan urusan berkaitan COVID-19 dan pastinya Kempen PENANG ini sangat bermakna kerana kami sayang Pulau Pinang.
“Tidak hanya semasa pandemik, sekarang inipun, pihak kami masih lagi bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam membantu membendung peningkatan kes bunuh diri terutama dalam mempromosikan kesihatan mental umum pasca pandemik,” katanya.
Tambahnya lagi, sememangnya menjadi suatu cabaran buat mana-mana negeri ataupun negara berdepan dengan isu kesihatan mental semasa atau selepas pandemik.
“Semuanya bermula dari rumah, bermula dengan individu itu sendiri dan seterusnya ke peringkat keluarga, rakan, komuniti…oleh itu penting untuk kita menjaga keluarga dan orang tersayang di sekeliling kita.
“Kerajaan hanya boleh menyediakan dasar dan platform tetapi yang memainkan peranan adalah komuniti dan NGO berkaitan, sekiranya kita mempunyai komuniti yang penyayang dan sudi menghulurkan tangan membantu orang lain, maka masalah seperti (tekanan mental) ini dapat dibendung.
“Saya percaya PENANG adalah suatu seruan yang inklusif tanpa mengira latar belakang individu, kita perlu ambil peduli dan raikan kepelbagaian yang ada ini sebagai suatu anugerah untuk negeri kita,” tegasnya.
Sementara itu, Presiden Women’s Centre for Change (WCC), YEAP LAY PHENG berkongsi rasa teruja dengan inisiatif terbaru yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Kolaborasi antara Kerajaan Negeri dan NGO amat penting yang mana perkongsian sumber yang ada dapat digunakan sepenuhnya untuk membantu serta memberi sokongan kepada kumpulan tertentu.
“Saya berharap kempen ini akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dengan membawa kesedaran bahawa kita mampu melakukannya dan bersedia menghadapi apa-apa pun cabaran pada masa hadapan,” katanya.
Mengambil contoh pelaksanaan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik, Lay Pheng berkata, permulaan kempen tersebut amat susah namun kini sokongan daripada semua pihak kempen tersebut telah berjaya mengubah corak rakyat Pulau Pinang membeli-belah.
“Bukan sesuatu yang mudah membawa perubahan memerlukan kesedaran dan perlu bermula daripada seseorang individu atau sesuatu tempat…mentaliti penting untuk melihat bagaimana kita bertindak terhadap sesuatu kempen atau polisi.
“Tidak hanya melaungkan PENANG tetapi tindakan kita yang mendorong ke arah kejayaan kempen ini dan memberi impak kepada masyarakat di sekeliling kita,” ulasnya lanjut.